Menu Rahmah dapat sambutan di Perak

Kamalludin (tengah) menyampaikan Bakul Rahmah kepada penerima pada Majlis Pelancaran Jualan Rahmah Peringkat Negeri Perak di AEON Big Falim di sini pada Isnin.
Kamalludin (tengah) menyampaikan Bakul Rahmah kepada penerima pada Majlis Pelancaran Jualan Rahmah Peringkat Negeri Perak di AEON Big Falim di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan mendapat sambutan menggalakkan di Perak apabila sehingga kini seramai 57 pengusaha makanan di seluruh daerah di negeri itu menyertai kempen berkenaan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sambutan diberikan terhadap inisiatif itu amat baik berdasarkan maklum balas diterima pihaknya.

Menurutnya, jumlah peniaga atau pengusaha makanan itu dijangka meningkat menerusi pertemuan yang akan dilaksanakan dengan pihak-pihak berkaitan.

"Saya juga sedang berusaha untuk mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak melibat persatuan-persatuan yang berminat untuk melaksanakan Menu Rahmah di negeri ini.

"Menu Rahmah ini sukarela, kita tak memaksa, kita anggap ini satu inisiatif daripada kerajaan untuk disahut oleh pengusaha-pengusaha bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat kita. Kita harap di Perak ini lebih ramailah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jualan Rahmah Peringkat Negeri Perak di AEON Big Falim, di sini pada Isnin.

Hadir sama pada majlis itu, Pengurus Stor AEON Big Ipoh Falim, Badrul Hafiz Mohammad dan Pengurus Kanan AEON Midtown Falim, Tan Yee Lean.

Kamalludin berkata, pihaknya juga menggalakkan pengusaha makanan di institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini memperkenalkan Menu Rahmah di premis masing-masing bagi membantu golongan pelajar.

Sementara itu, Kamalludin berkata, pengusaha yang berminat menawarkan Menu Rahmah atau mana-mana inisiatif di bawah Payung Rahmah boleh mendaftar di laman sesawang KPDN.