PDRM cadang tambah CIC di Sabah, Sarawak

Abd Jalil - Foto Bernama
Abd Jalil - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) terutama di Sabah dan Sarawak bagi menangani kes jenayah kanak-kanak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, setakat ini, pihak polis mempunyai sebanyak 14 pusat CIC di seluruh negara.

"Penambahan ini diperlukan bagi menangani kes-kes jenayah kanak-kanak di Sabah dan Sarawak yang mana keluasan negeri itu yang besar dan agak jauh dari satu tempat ke tempat lain.

"Buat masa ini, di negeri-negeri terbabit hanya mempunyai satu pusat di setiap negeri," katanya ketika lawatan kerja Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri ke CIC Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah di sini pada Isnin.

Abd Jalil turut melahirkan penghargaan atas lawatan berkenaan sekali gus berharap beberapa isu dibincangkan dapat diberi perhatian khusus oleh Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Abd Jalil berkata, isu pornografi membabitkan kanak-kanak di negara ini tidak membimbangkan, namun perlu dipandang serius oleh semua pihak.

"Kita sentiasa menerima maklumat daripada agensi luar antaranya Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Royal Thai Police berkaitan kes-kes pornografi di negara ini selain membabitkan rakyat Malaysia di luar negara," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 52,040 kes membabitkan isu kanak-kanak dan wanita sejak 2018 hingga tahun lalu.

"Jumlah itu membabitkan kes keganasan rumah tangga iaitu 30,346 kes diikuti kes rogol (6,946 kes) dan kanak-kanak hilang (4,896 kes)," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh terbabit, sebanyak 4,962 kes amang seksual direkodkan.

"Kes penderaaan kanak-kanak (2,933 kes), sumbang mahram (1,334 kes), rogol berkumpulan (365 kes) dan kanak-kanak maut akibat didera iaitu 258 kes," katanya.