Xavi bimbang kecergasan pemain Barca

Xavi - Foto EPA
Xavi - Foto EPA
A
A
A

PENGURUS Barcelona, Xavi meluahkan rasa bimbang anak-anak buahnya diselubungi keletihan selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Cadiz dalam saingan La Liga di laman sendiri pada Isnin.

Kemenangan berharga itu mengukuhkan kedudukan Barca di carta liga dengan 59 mata dibezakan lapan mata dengan pencabar terdekat Real Madrid.

Gol Sergi Roberto dan Robert Lewandowski melonjakkan semangat pemain untuk berdepan Manchester United pada perlawanan kedua saingan kalah mati Liga Europa setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi pertama.

Pada aksi di Camp Nou itu, Xavi membuat perubahan ke atas skuad apabila membawa masuk enam muka baharu untuk memastikan pemain mendapat cukup rehat menjelang kunjungan ke Old Trafford pada Jumaat.

“Frenkie de Jong dan Robert Lewandowski sudah melalui banyak minit perlawanan. Itulah sebabnya saya membuat perubahan.

“Pedri pula masih cedera dan kami tidak mampu menanggung lebih banyak lagi kecederaan,” katanya.

Xavi akan menilai pemainnya dalam beberapa hari akan datang sebelum mengumumkan skuad untuk dibawa terbang ke England.

“Kami perlu bersedia untuk perlawanan Jumaat ini dan menilai semula prestasi dan kesediaan pemain untuk beraksi,” katanya.