Pembangkang perlu mohon peruntukan melalui Ketua Whip

Armizan
Armizan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pembangkang yang tidak menerima peruntukan perlu membuat permohonan melalui Ketua Whip masing-masing untuk dipertimbangkan kerajaan sebelum disalurkan kepada mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ahli berkata, kerajaan ketika ini sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan peruntukan seiring kedudukan kewangan negara yang semakin baik.

Menurut Armizan, kerajaan pada hari ini tidak akan ragu-ragu untuk mempertimbangkan pemberian peruntukan bukan sahaja kepada ahli Parlimen pembangkang, tetapi ahli Parlimen seluruh kawasan demi kepentingan rakyat.

“Sebenarnya peruntukan kepada ahli Parlimen adalah berbeza kadarnya mengikut pentadbiran (kerajaan), ada pentadbiran yang hanya berikan peruntukan RM100,000 kepada ahli Parlimen pembangkang.

"Ada pentadbiran langsung tidak berikan walau satu sen kepada aahli Parlimen pembangkang, ada pentadbiran yang beri peruntukan tetapi perlu tandatangan memorandum persefahaman (MoU) dulu. Yang tidak tandatangan, tidak dapat peruntukan.

"Namun asasnya kerajaan hari ini sentiasa mempertimbangkan permohonan tetapi ia melihat di peringkat awal untuk memastikan pengurusan dan perancangan fiskal kewangan negara diberikan penekanan utama," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shein (PBM-Julau) sama ada kajian dibuat untuk memberikan peruntukan sama rata atau jumlah bersesuaian untuk ahli Parlimen pembangkang.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar) sama ada Kerajaan Perpaduan boleh memberikan peruntukan yang adil dan saksama kepada semua ahli Parlimen, Armizan (GRS-Papar) menegaskan, kerajaan sentiasa terbuka dan bersedia mempertimbangkan permohonan dan cadangan terbabit.

“Sebagaimana peruntukan yang telah disalurkan kepada ahli-ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan pada hari ini adalah melalui permohonan ketua-ketua Whip parti, maka pimpinan kerajaan mempertimbangkan (seterusnya) diberikan.

“Jadi mana-mana ahli Parlimen yang belum menerima peruntukan itu, suka saya cadangkan agar memohon, berunding dengan pimpinan kerajaan melalui ketua-ketua Whip masing-masing agar mereka juga menerusi rundingan yang dibuka, boleh dipertimbangkan peruntukan yang sama," katanya.