Hasrat berniaga keropok 'online' tercapai

Shamsul meluahkan hasratnya untuk berniaga keropok secara dalam talian kepada Dr Khairuddin (kanan).
Shamsul meluahkan hasratnya untuk berniaga keropok secara dalam talian kepada Dr Khairuddin (kanan).
A
A
A

KUALA NERUS - Bapa 10 anak dari Pulau Ketam yang menghidap penyakit tulang belakang hilang punca pendapatan selepas hilang upaya untuk melakukan kerja berat sejak tiga tahun lalu.

Shamsul Annuar Omar, 58, kini menggunakan tongkat untuk berjalan, namun semangatnya untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga tetap membara.

Susulan itu, Shamsul berhasrat untuk menjalankan perniagaan keropok secara dalam talian memandangkan dia banyak menghabiskan masa di rumah bersama anak anak ketika isterinya keluar bekerja.

Namun, kekangan modal menyebabkan hasrat itu masih belum menjadi kenyataan sehinggalah keinginannya itu dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Dr Khairuddin berkata, Shamsul mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sebanyak RM400 sebulan bagi menampung kos sara hidup keluarganya yang agak besar.

"Namun keluarga ini tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan diberikan sebaliknya isteri Shamsul menjadi pembantu di kedai bagi menambah pendapatan keluarga.

"Saya juga akan membantu mengeluarkan modal kepada Shamsul selepas dia meluahkan hasratnya untuk berniaga keropok secara dalam talian," katanya yang mengunjungi Shamsul di Pulau Ketam.

Shamsul antara tiga pesakit kronik yang menerima lawatan Dr Khairuddin pada Program Ziarah Mahabbah Ahli Parlimen Kuala Nerus di Pulau Ketam bagi kawasan DUN Bukit Tunggal.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, pegawai-pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs) DUN Bukit Tunggal dan Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Ketam.

Dalam pada itu, Dr Khairuddin turut menyampaikan sumbangan barang keperluan harian dan wang tunai kepada tiga pesakit yang dilawatinya bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.