JPNJ sentiasa bersedia pastikan SPM berjalan lancar

Calon-calon SPM SMK Bandar Baru Uda menunggu giliran masuk ke dewan peperiksaan pada Isnin.
Calon-calon SPM SMK Bandar Baru Uda menunggu giliran masuk ke dewan peperiksaan pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), sentiasa bersiap siaga bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di seluruh negeri berjalan lancar.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Anuar Sukiran, pihaknya juga telah menyusun dan mengadakan persiapan rapi menjelang peperiksaan berkenaan bagi memastikan kelancarannya kali ini.

"Sebagai makluman, SPM akan berjalan mulai 20 Februari hingga 15 Mac 2023 dan bagi negeri Johor, kita (JPNJ) telah susu dan mengatur persiapan rapi.

"Kalau dilihat pada jumlah calon bagi negeri Johor, seramai 48,759 calon SPM menduduki peperiksaan berkenaan kali ini manakala 1,796 (calon persendirian) dan 149 bagi calon berkeperluan khas.

"Selain itu, sebanyak 367 pusat peperiksaan dibuka dengan seramai 4,823 petugas di seluruh negeri," katanya pada sidang media sempena hari pertama peperiksaan SPM.

Hadir sama, Pengetua SMK Bandar Baru Uda, Suriyah Mohd Lahir dan Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Mohd Kamal Ahmad Untong.

Sementara itu, Anuar berkata, pihaknya tidak ada menerima laporan mengenai calon-calon yang tidak dapat menghadiri peperiksaan berkenaan akibat demam mahu pun disahkan positif Covid-19.

Katanya, peperiksaan baru sahaja bermula dan setakat ini pihaknya masih belum menerima lagi apa-apa laporan berhubung perkara berkenaan.

"Masih awal lagi dan kita pun masih belum dapat info mengenai calon-calon berkenaan.

"Selain itu, bagi calon-calon di Mersing, kita dah bawa mereka ke sekolah-sekolah di bandar bagi mengambil peperiksaan.

"Lagi pun, kebanyakan sekolah yang berada di sekitar kepulauan di Mersing hanya melibatkan sekolah rendah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!