[VIDEO] Rakaman suara sudah lama dibuat, tak timbul isu Tiktokers

Fadhlina ketika bercakap kepada media di SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi pada Isnin.
Fadhlina ketika bercakap kepada media di SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi pada Isnin.
A
A
A

BANGI - Proses rakaman suara bagi Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dibuat sudah lama, maka tidak timbul isu menggunakan pempengaruh TikTok sebagai pelontar suara untuk ujian berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil maklum semua aduan mengenai pelontar audio yang digunakan dalam ujian tersebut.

"Saya nak buat penegasan semula bahawa proses ujian itu dengan merakam atau merekod telah pun dilaksanakan lebih awal. Jadi tidak timbul isu pempengaruh TikTok tersebut.

"Keduanya adalah integriti menjadi isu yang perlu dirunding dan sebab itu juga peringkat Lembaga Peperiksaan (LP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memastikan bahawa isu integriti tersebut berjalan dengan betul-betul diambil kira dari semua aspek keesahan, kesahihan dan kredibiliti suara direkod tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan sempena hari pertama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 ke Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi di sini pada Isnin.

Perihal UMBI SPM 2022, yang berlangsung pada 16 Februari lepas, tular di media sosial apabila sesetengah netizen mempersoal kredibiliti pelontar audio yang didakwa merupakan pempengaruh TikTok, manakala calon peperiksaan pula berdepan masalah ketika ujian kerana pertuturan individu terbabit tidak jelas dan laju.

Pada Ahad, LP menafikan dakwaan menggunakan pempengaruh TikTok sebagai pelontar suara bagi UMBI SPM 2022.

LP memaklumkan pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM 2022 terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti serta mereka yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris.

Justeru, Fadhlina berkata, pihaknya akan menambah baik dari semasa ke semasa berkenaan isu pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM 2022.

"Insya-ALLAH, kita akan tambah baik dari semasa ke semasa sebab proses merekod berkenaan berlaku sebelum dan sudah lama lagi, jadi tidak timbul soal 'TikTokers' berkenaan," ujarnya.

Terdahulu, Fadhlina melakukan lawatan ke sekolah berkenaan untuk memberi semangat kepada pelajar SPM selain meninjau persiapan sekolah memandangkan ia merupakan hari pertama peperiksaan tersebut.

"Saya percaya dengan kepakaran pihak sekolah, LP, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pada hari ini telah membuktikan persiapan telah dilakukan dengan baik.

"Jadi kepada ibu bapa maka kita doakan semoga anak-anak kita dapat menghadapi peperiksaan dengan baik dan mencapai kejayaan," jelasnya.