Seorang kanak-kanak lelaki ditemui lemas

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
A
A
A

SELAYANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran jalan besar Taman Pinggiran Pelangi, Rawang di sini pada Ahad.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata, mangsa ditemui tersangkut pada dahan pokok tumbang kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh pada jam 7.45 malam.

"Mangsa dibawa naik pada jam 9 malam, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan mangsa meninggal dunia dan mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut" katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran jalan besar Taman Pinggiran Pelangi, Rawang.

Sepasukan 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang tiba di lokasi pada jam 6.23 petang untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Mangsa dikatakan bermain di kawasan itu bersama seorang rakan dan adiknya selepas hujan reda sebelum dipercayai terjatuh ke dalam longkang serta dihanyutkan arus deras..