Buang al-Quran: Jawi, PDRM lakukan siasatan

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Mohd Na'im (gambar kanan).
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Mohd Na'im (gambar kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melakukan siasatan susulan video tular berhubung pembuangan al-Quran di Kuala Lumpur pada Ahad.

Mohd Na'im berkata, siasatan lanjut telah dilaksanakan oleh pihak PDRM yang akan dimaklumkan kepada Jawi.

“Saya berasa amat dukacita dengan kejadian tersebut. Tindakan boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja melakukan perbuatan terbabit berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Ahad.

Pada Ahad, tular sebuah video di laman sosial kelihatan individu mengutip beberapa naskhah al-Quran yang didakwa telah dibuang pihak tidak bertanggungjawab dalam longkang berhampiran lombong Taman Sri Murni.

Dalam pada itu, ujar Mohd Na'im, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus mempertingkatkan program-program penerangan dan pendidikan berkaitan kaedah pelupusan al-Quran kepada masyarakat Islam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memelihara kemuliaan naskhah al-Quran pada setiap masa.

“Garis panduan dan kaedah untuk melupuskan naskhah al-Quran boleh dirujuk kepada pihak berkuasa agama Islam negeri iaitu Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN).

“Ia perlu diurus dengan penuh cermat dan tertib untuk menjaga kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan penghargaan serta memuji keprihatinan tinggi pihak berkuasa serta ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid setempat dan orang ramai yang bekerjasama menangani isu ini dengan penuh bersungguh-sungguh dan berhemah sebagai tanda menghormati kemuliaan al-Quran,” ujarnya.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis telah membuka kertas siasatan berhubung penemuan 13 naskhah al-Quran yang dipercayai sengaja dibuang individu tidak bertanggungjawab di dalam longkang di Taman Sri Murni Jinjang .

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan apa-apa benda dipegang suci al-Quran dengan tujuan untuk mengaibkan agama.