Al-Quran dibuang dalam longkang, polis buka kertas siasatan

Al-Quran yang dipercayai sengaja dibuang dalam longkang di Taman Sri Murni Jinjang.
Al-Quran yang dipercayai sengaja dibuang dalam longkang di Taman Sri Murni Jinjang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membuka kertas siasatan berhubung penemuan 13 naskhah al-Quran yang dipercayai sengaja dibuang individu tidak bertanggungjawab di dalam longkang di Taman Sri Murni Jinjang di sini.

Pada Ahad, tular rakaman video berdurasi 1 minit 39 saat di media sosial memaparkan longgokan al-Quran ditemui di lokasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan apa-apa benda dipegang suci al-Quran dengan tujuan untuk mengaibkan agama.

Menurutnya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama.

Beliau berkata, seorang wanita warga tempatan berumur 52 tahun telah tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 11.32 pagi Ahad.

"Beliau telah terjumpa beberapa naskhah kitab al-Quran di dalam sebuah longkang ketika sedang beriadah bersama suami di tasik tersebut pada Sabtu sekitar jam 6.30 petang.

"Pengadu ternampak sebuah beg berwarna biru di dalam longkang berdekatan dengan kolam takungan tasik.

"Hasil pemerhatian pengadu mendapati senaskhah al-Quran dalam keadaan terbuka dan telah terkeluar daripada beg tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Ujarnya, pengadu telah meminta bantuan daripada orang awam untuk membawa naik beg itu.

"Kesemua al-Quran itu telah dibawa keluar dan dihantar ke Masjid Annas Kampung Selayang Lama untuk disimpan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Polis Kuala Lumpur menasihati semua orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kebimbangan serta menjejaskan ketenteraman awam terutama kepada masyarakat umum," katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes tersebut boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.