PRN: Aminuddin akan segera jumpa Tok Mat bincang kerusi

Aminuddin (kiri) dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang juga Setiausaha Agung DAP semasa sidang media bersama pada Konvensyen Tahunan Kali Ke-21 DAP Negeri Sembilan hari ini. - Foto Bernama
Aminuddin (kiri) dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang juga Setiausaha Agung DAP semasa sidang media bersama pada Konvensyen Tahunan Kali Ke-21 DAP Negeri Sembilan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan segera berjumpa dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membincangkan soal pembahagian kerusi antara mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya, perjumpaan itu tidak semestinya diadakan secara rasmi kerana mereka biasa berjumpa di Parlimen.

"Saya akan segera jumpa, tiada masalah. Lagipun kami selalu jumpa di Parlimen. Insya-ALLAH ada masa, saya akan berbincang dengan Tok Mat.

"Saya akan berbincang beri pandangan. Kita berunding di peringkat negeri tapi akhirnya akan diputuskan oleh Majlis Presiden," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Konvokesyen DAP Negeri Sembilan 2023 di sini pada Ahad.

Selain itu, beliau yang merupakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpendapat, secara dasarnya setiap parti yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu wajar kekal bertanding di kerusi tersebut pada PRN.

Jelasnya, semua pihak perlu memahami konteks itu dan bersedia berlapang dada.

"Di Negeri Sembilan, tiada kerusi yang kosong atau milik pembangkang. Jadi kita perlu akur melainkan jika ada kerusi Bersatu atau Pas, mungkin kerusi itu kita boleh berbincang untuk diberi kepada siapa.

"Jadi bagi saya lebih mudah jika ia dikekalkan. Kalau di Negeri Sembilan, PH menang 20 kerusi dan sebaiknya ia dikekalkan kerana itu lebih mendatangkan keyakinan rakyat daripada berebut-rebut," katanya.