Tiga remaja terlibat kes gaduh ditahan

Mohamad Fakhrudin
Mohamad Fakhrudin
A
A
A

PETALING JAYA - Tiga remaja berusia 14 hingga 16 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam insiden pergaduhan di taman perumahan awam dan kawasan tempat letak kenderaan pasar raya di Ara Damansara pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian pada 11 malam itu menyebabkan ada di antara mereka cedera akibat pergaduhan dua kumpulan berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca dari cemuhan dan mempersendakan antara dua kumpulan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohamad Fakhrudin berkata, susulan maklumat itu, pada 1.10 pagi sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berjaya menahan tiga remaja di sekitar kawasan berkenaan.

"Tiga remaja yang ditahan itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kes berasingan, seramai dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pergaduhan di sebuah gerai makanan di Taman Medan, di sini, pada Sabtu.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 28 tahun dan 32 tahun serta merampas sebilah parang dan satu bilah pisau.

"Kedua-dua individu itu direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.