'Tiada apa disembunyikan, sedia beri keterangan'

Tengku Zafrul - Foto Bernama
Tengku Zafrul - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bersedia untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung program Jana Wibawa.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menjelaskan, tiada apa yang perlu disembunyikan berhubung dana projek berkenaan.

"Ada media tanya saya mengenai Jana Wibawa.

"Tiada apa yang perlu disembunyikan dan saya sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian," katanya di Facebook rasminya.

Pada Sabtu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukannya sebagai 'suspek'.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, SPRM memintanya memberikan penerangan berhubung program Jana Wibawa.

Difahamkan lebih 15 individu termasuk pemimpin parti berkenaan selain pihak kontraktor sudah dipanggil SPRM bagi dirakam keterangan.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan pembekuan akaun Bersatu bagi membantu siasatan.

Siasatan berhubung perkara itu dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.