Noor Arfa lantik Zara Zya sebagai duta

Zara (tengah) diiringi Wan Mohd Hafiz diumumkan sebagai duta Noor Arfa pada Sabtu.
Zara (tengah) diiringi Wan Mohd Hafiz diumumkan sebagai duta Noor Arfa pada Sabtu.
A
A
A

UNTUK menaikkan semula industri batik di negara ini selepas lesu akibat pandemik Covid-19, syarikat pengeluar dan pengedar batik sutera bumiputera, Noor Arfa (Noor Arfa) Holdings Sdn Bhd melantik aktres, Zara Zya sebagai duta.

Dengan lantikan sempena sambutan ulang tahun Noor Arfa ke-43 itu, syarikat berkenaan turut mengeluarkan Koleksi Raya Noor Arfa X Zara Zya.

Pengarah Urusan Noor Arfa, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin berkata, inisiatif yang menjadi kemunculan semula Noor Arfa selepas kemelesetan ekonomi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun itu juga bagi menaikkan kembali jenama fabrik dan fesyen tempatan.

"Kita mahu buktikan bahawa batik bukan industri biasa-biasa tapi boleh muncul seperti jenama fesyen terkemuka seperti YSL dan Gucci. Itu level yang kita nak capai.

"Seiring dengan matlamat itu, kita perkenalkan pakaian yang sedia untuk dipakai (ready to wear) menerusi Koleksi Raya Noor Arfa X Zara Zya. Koleksi ini akan mula dijual pada 1 Mac depan," katanya sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Noor Arfa ke-43 dan pelancaran duta Noor Arfa di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Tentang pemilihan Zara sebagai duta, Wan Mohd Hafiz berkata, pelakon itu dipilih kerana merupakan ikon perempuan Melayu yang boleh memberi inspirasi kepada peminat-peminatnya.

Sementara itu, Zara memberitahu, kolaborasi bersama Noor Arfa itu dibuat untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa batik hanya mampu dipakai oleh mereka yang berduit sahaja.

"Orang kadang-kadang takut nak pakai batik sebab ingat harganya beribu-ribu tapi sebenarnya ada yang harga mampu milik. Contohnya harga pakaian batik bagi Koleksi Raya Noor Arfa X Zara Zya ini cuma dari RM80 ke RM100 lebih sahaja.

"Jadi dengan kepercayaan yang diberikan Noor Arfa ini, insya-ALLAH Zara akan membantu menarik peminat-peminat baharu batik untuk memartabatkan batik di mata dunia," ujarnya.