Lima mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar pulang esok

Chong Siang (dua dari kiri) bersama mangsa-mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang akan tiba di KLIA pada esok.
Chong Siang (dua dari kiri) bersama mangsa-mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang akan tiba di KLIA pada esok.
A
A
A

SHAH ALAM - Lima mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang terkandas di Myawaddy, Myanmar dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad jam 3 petang.

Kelima-lima mangsa itu dilaporkan akan bertolak daripada Bangkok pada jam 11 pagi pada Ahad dan dijangka tiba di balai ketibaan KLIA pada jam 3 petang waktu tempatan.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang difahamkan turut berada di sana bagi menyambut ketibaan mereka daripada Bangkok, Thailand itu.

Mangsa-mangsa tersebut antara rakyat Malaysia yang diselamatkan menerusi misi menyelamat yang disertai oleh kumpulan penyelamat Chong Siang, Victor Wong, seorang ahli perniagaan Malaysia yang menetap di Thailand dan wartawan Sinar Harian, Mukhriz Mat Husin.

Pada 10 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan misi menyelamat rakyat negara ini yang diperdaya di Myawaddy, Myanmar berjaya membongkar modus operandi lebih mengejutkan apabila sindiket pemerdagangan itu kini menyasarkan belia Malaysia terutamanya remaja Melayu.

Mangsa terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan itu ‘terperangkap’ di sebuah bangunan yang menjalankan aktiviti perjudian dikenali sebagai KK Garden, terletak kira-kira dua kilometer dari sempadan Myanmar-Thailand.