Harga lantai pakej umrah ekonomi RM7,800, premium RM14,000

Para jemaah umrah menadah tangan membaca doa sebelum berlepas ke tanah suci bagi menunaikan ibadah tersebut. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Razali)
Para jemaah umrah menadah tangan membaca doa sebelum berlepas ke tanah suci bagi menunaikan ibadah tersebut. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Razali)
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh) menetapkan harga lantai bagi pakej umrah ekonomi bermula daripada RM7,800 manakala pakej umrah premium atau VIP bermula RM14,000.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, ahli Papuh mencapai kata sepakat meletakkan harga lantai itu susulan kenaikan harga tiket penerbangan dan hotel penginapan di Madinah dan Mekah.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat susulan satu perjumpaan melibatkan ahli Papuh di Hotel Grand Barakah pada Jumaat.

"Perjumpaan bertujuan membincangkan mengenai kenaikan harga tiket penerbangan dan juga hotel penginapan di Madinah dan Mekah. Antara dikenal pasti ialah permintaan mengerjakan ibadah umrah yang tinggi daripada jemaah seluruh dunia.

"Oleh yang demikian, ahli mencapai kata sepakat untuk meletakkan harga lantai berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Berikutan itu, Razali memberitahu, Papuh berharap agar bakal jemaah umrah memahami keadaan yang berlaku sekarang yang menyebabkan berlaku kenaikan harga pakej.

Tegas beliau, pihak Papuh juga menyarankan bakal jemaah umrah berhati-hati dalam memilih pakej umrah terutama pada harga yang tidak munasabah untuk mengelak berlakunya penipuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!