Wanita maut, nahas kereta dan lori tangki

Anggota bomba dari BBP Muadzam Shah membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit selepas kereta dipandu terbabit kemalangan dengan lori tangki di Jalan Kerayong -Bahau, Muadzam Shah pada Sabtu. (gambar dalam: Arwah Rosnah)
Anggota bomba dari BBP Muadzam Shah membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit selepas kereta dipandu terbabit kemalangan dengan lori tangki di Jalan Kerayong -Bahau, Muadzam Shah pada Sabtu. (gambar dalam: Arwah Rosnah)
A
A
A

MUADZAM SHAH - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di Kilometer 152.2 Jalan Kuantan-Seremban di sini pada Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.20 pagi itu, mangsa, Rosnah Saadon, 56, yang bekerja sebagai tukang cuci beralamat di Felda Bukit Sagu 1, Kuantan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, penumpang dipercayai suami mangsa, Razali Nordin,62, dan seorang kanak-kanak lelaki, Mohammad Noor Irwan Ezwan, 6, cedera manakala pemandu lori tangki, G Davendran, 46, tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa bersama dua penumpang dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah menghala ke Seremban.

"Ketika tiba di lokasi kejadian (laluan menuruni bukit), kereta terbabit dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori tangki," katanya.

Menurutnya, dalam kejadian itu, lori tangki terbabit turut terbakar manakala mayat mangsa tersepit dalam kereta yang remuk dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.

"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk menerima rawatan," jelasnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bersama sebuah jentera ke lokasi untuk bantuan menyelamat mangsa terbabit.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, pihaknya mendapati mangsa lelaki dan kanak-kanak telah dikeluarkan orang awam.

"Mangsa yang maut tersepit dalam kereta berjaya dikeluarkan pihak bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Zulfadli berkata, pihaknya turut membantu memadam lori tangki yang terbakar dalam kemalangan terbabit.