Ronaldo bantu Al Nassr kembali ke puncak liga

Ronaldo (kiri) tampil dengan dua bantuan gol untuk membantu kemenangan Al Nassr. - Foto AFP
Ronaldo (kiri) tampil dengan dua bantuan gol untuk membantu kemenangan Al Nassr. - Foto AFP
A
A
A

Al NASSR kembali berada di kedudukan teratas Liga Pro Saudi selepas Cristiano Ronaldo menjadi inspirasi dengan dua bantuan gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Al Taawoun pada Jumaat.

Ronaldo dalam laman Twitternya gembira dengan kerja berpasukan yang ditunjukkan pasukan untuk meraih kemenangan tersebut dalam aksi di Stadium Universiti King Saud.

"Tempat teratas liga dan tiga mata penting. Kerja berpasukan yang hebat!," katanya.

Bantuan gol pertama Ronaldo dalam perlawanan itu merupakan hantaran menarik kepada Abdulrahman Ghareeb sebelum pemain sayap itu menewaskan penjaga gol Al Taawoun pada minit ke-17.

Alvaro Medran menyamakan kedudukan buat Al Taawon dua minit selepas babak kedua bersambung sebelum Ronaldo sekali lagi muncul dengan bantuan gol untuk membolehkan Abdullah Madu menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-78.

Kemenangan itu membawa Al Nassr kembali ke atas Al Ittihad dengan perbezaan gol apabila kedua-dua pasukan berkongsi 40 mata.

Juara Arab Saudi itu juga telah disahkan beraksi dalam Piala Dunia Kelab akhir tahun ini sebagai wakil negara tuan rumah.