China hentikan perjuangan Malaysia di suku akhir

Lee Zii Jia
Lee Zii Jia
A
A
A

SKUAD negara sekali lagi gagal mengakhiri badi kekalahan di suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023, apabila tewas 3-2 kepada juara bertahan China.

Pada aksi di Pusat Pameran Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu, kem negara bermula garang apabila perseorangan negara Lee Zii Jia menewaskan Lei Lan Xi, 21-16, 22-20.

Biarpun begitu, China kembali menyamakan kedudukan apabila perseorangan wanitanya yang berkedudukan ke-101 dunia, Gao Fang Jie, bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengejutkan juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei, 15-21, 21-13, 21-19, selepas 70 minit perlawanan.

China terus di depan 2-1 apabila dalam aksi beregu lelaki pula, He Ji Ting-Zhou Hao Dong, mengetepikan pasangan negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 24-22, 21-18.

Bagaimanapun beregu wanita nombor lima dunia Pearly Tan-M.Thinaah membuka kembali peluang buat negara apabila mengalahkan Liu Sheng Shu-Tan Ning 21-17, 12-21, 21-19, dalam masa 76 minit.

China, yang tidak menampilkan barisan bintang, membuktikan penguasaannya apabila meraih kemenangan 3-2 selepas beregu campuran pasukan itu yang berada pada ranking ke-110 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, menundukkan beregu nombor enam dunia dari Malaysia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, 21-15, 25-23.

Kemenangan itu menyaksikan China akan berdepan India yang menewaskan Hong Kong 3-2, manakala Korea Selatan bakal menentang Thailand pada Sabtu.

Untuk rekod, empat pasukan di separuh akhir secara automatik layak ke Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China pada 14 hingga 21 Mei ini.

Malaysia sebelum ini menamatkan kempen Kumpulan B sebagai naib johan setelah tewas kepada juara Piala Thomas India, 1-4, pada Khamis.

Skuad negara memulakan saingan edisi 2023 dengan kemenangan 5-0 ke atas tuan rumah UAE dan Kazakhstan.

Malaysia gagal melepasi pusingan suku akhir sejak kejohanan itu pertama kali diadakan di Hanoi pada 2017 dan seterusnya di Hong Kong (2019), manakala edisi 2021 di Wuhan, China dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.