Padah guna nombor plat 'fancy'

Polis Shah Alam melaksanakan Op Khas Kesalahan Nombor Pendaftaran di Lebuhraya LKSA, pada Khamis. - Foto PDRM
Polis Shah Alam melaksanakan Op Khas Kesalahan Nombor Pendaftaran di Lebuhraya LKSA, pada Khamis. - Foto PDRM
A
A
A

SHAH ALAM - Lapan kenderaan dikenakan tindakan saman menerusi Op Khas Kesalahan Nombor Pendaftaran di susur Lebuhraya Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, operasi dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor itu merekodkan 32 jumlah saman pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan ke atas 80 kenderaan dan 96 individu.

Menurutnya, daripada jumlah saman itu, lapan adalah kesalahan nombor pendaftaran iaitu 'fancy' membabitkan lima kereta dan tiga motosikal.

"Selain itu, pihak JAS Selangor turut mengeluarkan tiga notis untuk hadir pemeriksaan terhadap tiga pemandu lori berkaitan kesalahan ekzos.

"Operasi ini dijalankan susulan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang menerima rungutan tinggi masyarakat berkenaan pemilik kenderaan yang mempamerkan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi dan 'fancy'," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, operasi khas ini akan dikuatkuasakan bermula 15 sehingga 28 Februari.

Kata Mohd Iqbal, dinasihatkan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi segala peraturan jalan raya yang telah ditetapkan bagi mengelak daripada tindakan diambil.