Warga emas maut, kereta rempuh treler terbabas

Kereta dinaiki mangsa berpusing dan melanggar bahagian belakang treler selepas hilang kawalan melanggar kon keselamatan. - Foto Polis Perak
Kereta dinaiki mangsa berpusing dan melanggar bahagian belakang treler selepas hilang kawalan melanggar kon keselamatan. - Foto Polis Perak
A
A
A

TAPAH - Seorang wanita warga emas maut selepas kereta dinaiki melanggar kon keselamatan yang diletakkan akibat kemalangan treler di laluan kanan Kilometer 334.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini pada Jumaat.

Dalam kejadian sekitar jam 6.30 pagi itu, Ng Gim Chuan, 81, yang duduk di bahagian penumpang belakang meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Tapah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kereta dinaiki mangsa bersama anak perempuan dan menantunya itu dipercayai hilang kawalan ketika di tempat kejadian.

Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan kereta jenis Toyota Camry terbabit melanggar tanda keselamatan sebelum berpusing dan merempuh bahagian belakang treler.

"Mangsa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, namun sekitar jam 8.15 pagi disahkan meninggal dunia.

Keadaan treler muatan alat ganti kereta yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan lebuh raya. -Foto Polis Perak
Keadaan treler muatan alat ganti kereta yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan lebuh raya. -Foto Polis Perak

"Kejadian turut mengakibatkan anak mangsa berusia 55 tahun luka di dahi manakala menantu berusia 63 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, pihak PLUS telah meletakkan kon dan lampu amaran di belakang treler terbabit sebagai makluman pengguna lebuh raya.

Katanya, treler muatan alat ganti kereta yang dalam perjalanan ke Padang Besar, Perlis itu melanggar pembahagi jalan besi di tengah lebuh raya akibat terbabas.

"Siasatan lanjut kini diteruskan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.