'Ramuan AS' julang Haiqal

Haiqal - Foto Bernama
Haiqal - Foto Bernama
A
A
A

PELARI pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi mendedahkan rahsia kejayaannya meraih pingat emas pada Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023 di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur minggu lalu.

Haiqal mempraktiskan teknik larian yang dikongsikan pelari sensasi, Muhammad Azeem Fahmi yang ketika ini 'berguru' di Universiti Auburn, Alabama, Amerika Syarikat (AS).

Atlet berusia 24 tahun itu mengenepikan rasa malu untuk meminta tips daripada Azeem,19, yang lebih junior daripadanya.

“Sejak Azeem di AS kami saling berhubung bertanya khabar dan berkongsi pengalaman di sana. Saya nak dapatkan ilmu.

“Walaupun lebih senior dan berpengalaman tapi rasa benda kurang, saya bertanyakan Azeem. Buat apa kita nak malu.

“Saya tertarik dengan teknik larian Azeem, jadi saya minta tips daripadanya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Haiqal meraih slot secara merit ke Sukan SEA Kemboja setelah meraih pingat emas dalam acara 100 meter (m) Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia di Bukit Jalil Sabtu lalu.

Dia membuat catatan 10.46s mengatasi had kelayakan 10.56s yang ditetapkan untuk ke temasya dwitahunan di Phnom Penh pada Mei depan.

Azeem - Foto Instagram
Azeem - Foto Instagram

Haiqal menjelaskan, Azeem berkongsi mengenai teknik larian tersebut dan dia mempraktiskan dalam sesi latihan.

“Tak cuba, kita tak tahu. Ia bukan mudah dan ambil sedikit masa. Namun saya konsisten melakukannya dalam latihan dan ia berhasil,” katanya.

Mengulas ketiadaan Azeem pada Sukan SEA kali ini, Haiqal percaya dia bersama rakan pelari pecut yang lain mampu menggalas cabaran untuk meraih pingat.

“Kami perlu bekerja keras untuk meraih podium dalam acara riben biru. Andai diberi peluang saya akan berikan yang terbaik,” katanya.

Haiqal mencipta sensasi apabila meraih emas pada Sukan SEA 2019 di Manila, namun gagal layak edisi di Hanoi tahun lalu.