Dua lori bertembung, seorang pemandu maut

Keadaan lori yang remuk selepas terlibat kemalangan di KM231.7 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara) pada awal pagi Khamis. - Foto PDRM
Keadaan lori yang remuk selepas terlibat kemalangan di KM231.7 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara) pada awal pagi Khamis. - Foto PDRM
A
A
A

REMBAU - Seorang pemandu maut selepas lori dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori lain di Kilometer 231.7 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara), di sini pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Fazuan Mohd Robit, 35, beralamat di Felda Palong, Jempol disahkan maut di lokasi kejadian.

"Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu membabitkan lori jenis Isuzu dipandu mangsa, manakala sebuah lori lagi jenis Volvo dipandu oleh seorang lelaki berusia 34 tahun.

"Semasa kejadian, kedua-dua lori itu tidak membawa muatan dan berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa memandu dari arah Melaka menghala ke Shah Alam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, sebaik sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai mengekori rapat di belakang lori jenis Volvo itu sebelum hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang lori berkenaan yang berada di hadapannya di lorong sama iaitu lorong perlahan.

“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat hari ini,” katanya.

Jelas Hazri, pemandu lori jenis Volvo dan kelindannya yang berusia 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.