Kerusi DUN Batang Kali diisytihar kosong

Suee Lim (kanan) dan Hasnul menunjukkan penyata rasmi dan buku kedatangan ADUN pada sidang akhbar di Bangunan DUN Selangor pada Khamis.
Suee Lim (kanan) dan Hasnul menunjukkan penyata rasmi dan buku kedatangan ADUN pada sidang akhbar di Bangunan DUN Selangor pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim mengisytiharkan kerusi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali kosong.

Suee Lim memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar gagal menghadirkan diri dalam persidangan DUN Selangor selama enam bulan tanpa sebarang notis.

Beliau berkata, berdasarkan data pada penyata rasmi dan buku kedatangan ADUN itu tidak hadir tanpa kebenaran Speaker pada keseluruhan persidangan DUN dari 23 hingga 30 November 2022; 1 hingga 2 Disember 2022 dan 5 hingga 6 Disember 2022.

"Tiada rekod dalam Pejabat DUN Selangor dan pejabat Speaker yang menunjukkan Harumaini memohon kebenaran daripada Speaker untuk tidak hadir pada persidangan pada tarikh berkenaan," katanya kepada pemberita di Bangunan DUN Selangor pada Khamis.

Hadir sama, semasa sidang media pengumuman tersebut ialah Timbalan Speaker DUN Selangor, Hasnul Baharuddin.

Beliau menambah, penyata rasmi dan buku kehadiran menunjukkan kali terakhir Harumaini hadir ke persidangan DUN Selangor ialah pada 27 Julai 2022.

"Memandangkan tempoh enam bulan dikira bermula dari 28 Julai 2022, maka seperti yang diperuntukkan Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, tempoh ketidakhadiran Yang Berhormat Batang Kali telah melebihi enam bulan.

"Maka pada menjalankan kuasa saya sebagai Speaker DUN Selangor mengikut Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, saya dengan ini mengisytiharkan kerusi Harumaini kosong berkuat kuasa mulai 28 Jan 2023," katanya.

Sebagai rekod, Harumaini merupakan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding di Batang Kali dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dan memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 8,315.