Jadikan kes Melaka, Sarawak United pengajaran

STUART RAMALINGAM
STUART RAMALINGAM
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan amaran tidak akan berkompromi dengan masalah tunggakan gaji sekiranya masih berlaku dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, setiap pasukan Liga Super perlu berhati-hati dalam berbelanja menyiapkan pasukan agar tidak terlalu boros sehingga memberikan kesan di penghujung liga.

Menurutnya, MFL tidak akan teragak-agak menarik lesen pasukan seperti yang telah berlaku kepada Melaka United dan Sarawak United musim lalu.

"Kami sentiasa berusaha untuk memastikan pendekatan FAM dan MFL untuk hentikan stigma tunggakan gaji dalam bola sepak di negara ini.

"Tahun ini juga sama dan lesen yang akan diberikan kepada pasukan akan diukur dengan beberapa perkara termasuk kewangan pasukan. saya yakin semua pasukan tahu betapa seriusnya isu ini.

"Kami harap 14 pasukan Liga Super boleh menguruskan kewangan dengan sempurna dan isu mengenai tunggakan gaji tidak akan berlaku pada tahun ini," katanya kepada media selepas majlis menandatangani kontrak penajaan antara MFL dan syarikat BubblesO2 di sebuah hotel pada Khamis.

Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mahu tindakan lebih tegas diambil kepada pasukan yang berdepan kes tunggakan gaji bermula musim ini.

Dalam masa sama, Stuart juga percaya pendekatan MFL untuk mengatasi masalah tunggakan gaji telah menampakkan hasil.

"Pada 2018, kita ada 232 kes tunggakan gaji pada masa itu. Sekarang hanya tinggal sembilan hingga 13 kes aktif. Bagi saya, usaha untuk mengurangkan jumlah kes tunggakan gaji itu positif.

"Ia termasuk dengan langkah kita tidak beri lesen kepada Melaka dan Sarawak untuk beraksi di Liga Super.

"Walaupun ia memberikan impak besar kepada liga dengan ketiadaan kedua-dua pasukan ini, namun kita tetap tegas untuk elakkan perkara ini terus berlaku," ujarnya.