Kurang 10 rumah ada meter sah, selebihnya 'pancing' elektrik

Kakitangan SESB menunjukkan wayar yang digunakan oleh penduduk untuk mendapatkan bekalan elektrik secara haram di Kampung Numbak, Kota Kinabalu.
Kakitangan SESB menunjukkan wayar yang digunakan oleh penduduk untuk mendapatkan bekalan elektrik secara haram di Kampung Numbak, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kurang 10 daripada 1,000 rumah yang ada di Kampung Numbak dikenal pasti mempunyai meter yang sah, manakala selebihnya mendapatkan bekalan elektrik secara haram menerusi teknik 'pancing' dari kabel elektrik di sekitar Kampung Numbak di sini.

Perkara itu didedahkan oleh Pengurus Besar Pembahagian Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Addie Ahmad menerusi operasi membanteras sambungan haram elektrik yang dilakukan di kampung berkenaan pada Khamis.

Menurut Addie, Kampung Numbak antara kawasan setinggan dikenal pasti paling banyak berlakunya aktiviti penyambungan haram bagi penduduk mendapatkan bekalan elektrik secara tidak sah.

"Setiap kali kami datang, sama saja dan ia bergantung berapa ramai penduduk atau rumah yang ada. Jika bertambah rumah, bertambahlah pendawaian secara haram.

"Kalau di kampung ini, rata-ratanya menggunakan teknik 'pancing' dan mereka sanggup menggadai nyawa dengan memotong kulit dawai sebelum disangkutkan kepada kabel elektrik utama.

"Hasil siasatan kami, jumlah penduduk mempunyai meter yang sah kurang daripada 10 daripada 1,000 rumah," katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini pada Khamis.

Kerja memotong dawai yang disambungkan ke kabel utama tiang elektrik dilakukan oleh kakitangan SESB dalam operasi bersepadu di Kampung Numbak Kota Kinabalu.
Kerja memotong dawai yang disambungkan ke kabel utama tiang elektrik dilakukan oleh kakitangan SESB dalam operasi bersepadu di Kampung Numbak Kota Kinabalu.

Beliau turut mendedahkan bahawa selain di kampung berkenaan terdapat sebanyak 193 kawasan setinggan di seluruh Sabah yang melakukan penyambungan elektrik haram.

"Kami anggarkan sebanyak 31,000 jumlah rumah yang kita anggap setinggan dan kita anggarkan kerugian setiap tahun sebanyak RM20 juta di mana ia adalah satu jumlah yang agak besar dan ia bukan saja merugikan SESB tetapi juga kepada kerajaan.

"Ia juga tidak adil bagi kita yang membayar bil elektrik sedangkan mereka mengambil kesempatan mendapatkan bekalan secara tidak sah dan tidak selamat serta salah," katanya.

Mengulas lanjut, Addie berkata, operasi itu diadakan bagi membanteras kegiatan penyambungan haram yang dilihat membahayakan penduduk termasuk risiko kebakaran dan juga kemalangan maut.

"Penyambungan haram ini boleh mengakibatkan berlakunya litar pintas kerana bebanan lampau di rumah dan akhirnya menyebabkan kebakaran.

"Selain itu juga, ia boleh menyebabkan kemalangan maut apabila seseorang tanpa sedar tersentuh dawai daripada sambungan yang tidak betul terutama yang tidak bersalut dan menurut rekod sejak 2016 terdapat kita mencatat tujuh kes kemalangan maut melibatkan orang awam.

"Dalam masa sama, operasi ini turut member manfaat kepada pengguna yang membuat pembayaran bil di mana kes kehilangan sistem adalah sangat tinggi buat masa ini di seluruh Sabah," katanya.