Tunggakan hutang tidak mampu dibayar Felcra RM312.22 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semakan audit mendapati Felcra Bhd (Felcra) mempunyai tunggakan hutang yang tidak mampu dibayar berjumlah RM312.22 juta pada tahun 2021 berbanding RM82 juta pada 2020.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2, berdasarkan surat pengesahan baki dan tunggakan pinjaman Kerajaan Persekutuan bertarikh 10 Januari 2022 daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia, baki pinjaman Felcra dengan kerajaan Persekutuan setakat 31 Disember 2021 ialah RM3.67 bilion.

"Baki pinjaman ini merupakan 69 peratus daripada keseluruhan liabiliti Felcra yang berjumlah RM5.32 bilion dan berdasarkan maklum balas Felcra, Kerajaan melalui keputusan Dewan Rakyat pada 4 Ogos 2022 telah meluluskan sebahagian baki pinjaman berjumlah RM969.27 juta ditukarkan kepada ekuiti dalam Felcra,” kata laporan itu.

LKAN berkata, satu daripada enam indikator perspektif perspektif petunjuk prestasi utama (KPI) Felcra tidak mencapai sasaran pada 2021 iaitu indikator pengurangan kos dalam kos pentadbiran, ia disebabkan tambahan perbelanjaan bagi Program Tanggungjawab Sosial Korporat Rakyat berjumlah RM10 juta yang tidak dibajetkan pada awal tahun.

"Secara keseluruhannya berdasarkan skop pengauditan, objektif penubuhan Felcra untuk menyatu, memulih dan membangunkan tanah milik peserta telah tercapai melalui aktiviti utamanya iaitu melaksanakan mandat sosial (program P&P) dan perniagaan komersial.

"Dalam aspek keberhasilan, Kerajaan tidak menerima dividen daripada Felcra bagi tempoh tahun 2019 hingga 2021, namun program P&P telah memberi impak positif serta dapat meningkatkan taraf hidup peserta dengan agihan dividen yang diterima,” katanya.

Pengurusan aktiviti perladangan adalah tidak cekap kerana tidak mematuhi jadual perancangan pembajaan dan jadual pusingan penuaian serta tenaga kerja asing (TKA) yang telah tinggal melebihi tempoh sah laku Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), kata laporan tersebut.

Setakat April 2022, tiada pembayaran dividen oleh syarikat subsidiari dibuat bagi tempoh tahun 2019 hingga 2021 kerana pengauditan penyata kewangan bagi tempoh tersebut belum dimuktamadkan.

Pihak yang berkepentingan perlu mengambil langkah untuk membantu peserta yang tidak menerima dividen bagi menyelesaikan masalah kos operasi dan projek tidak berdaya maju dan dividen belum agih terkumpul berjumlah RM67.14 juta hendaklah diserahkan kepada peserta dan pemegang amanah secepat mungkin.

Felcra juga disyorkan memaksimumkan pengisian tenaga kerja ladang selaras dengan keperluannya supaya dapat meningkatkan produktiviti hasil tuaian dan pendapatan syarikat pada tahap optimum serta mengguna pakai sistem secara digital bagi pengurusan penyenggaraan kilang sawit seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 negara.

Setakat 2021, Felcra telah memperoleh ladang seluas 203,953 hektar dan mempunyai 108,097 peserta. Ia telah mengagihkan dividen berjumlah RM801.05 juta kepada peserta bagi tempoh 2019 hingga 2021.

Selain itu, setakat bulan April 2022, Felcra mempunyai pegangan saham antara 53 peratus hingga 100 peratus dalam 22 syarikat subsidiari dan sembilan syarikat usaha sama dengan pegangan saham antara 8.75 peratus hingga 50 peratus. - Bernama