Tahap simpanan KWSP bumiputera bawah 55 tahun menurun

Ahmad Maslan ketika sidang akhbar di lobi Dewan Rakyat pada Khamis.
Ahmad Maslan ketika sidang akhbar di lobi Dewan Rakyat pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahap simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan bumiputera di bawah umur 55 tahun menunjukkan penurunan ketara pada tahun 2022.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, trend tersebut mencatatkan nilai median simpanan sebanyak RM4,900 pada tempoh berkenaan dan nilai itu adalah tiga kali lebih rendah berbanding median simpanan pada April 2020 iaitu sejumlah RM15,500.

Menurut beliau, trend penurunan itu antara implikasi pengeluaran simpanan KWSP berkaitan pandemik Covid-19 yang telah dibuat oleh seramai 8.1 juta pencarum.

"Ahli di bawah umur 55 tahun di dalam kumpulan B40 dan M40 adalah yang paling terjejas dari segi jumlah simpanan, mengakibatkan jurang yang semakin melebar dengan kumpulan T20.

"Median simpanan ahli Melayu melibatkan 7 juta ahli pada April 2020 sebelum dibenarkan pengeluaran ialah RM16,900, tetapi pada 2022, hanya tinggal RM5,500 sahaja," katanya ketika sidang akhbar yang dibuat di Lobi Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata, dari segi peratusan penurunan ahli bumiputera yang lain, sebanyak 1.4 juta ahli adalah paling terjejas dengan penurunan jumlah simpanan sebanyak 18 peratus iaitu daripada RM38 bilion kepada RM3.1 bilion.

"Penurunan median simpanan ahli pula menurun sebanyak 70 peratus iaitu daripada RM10,600 kepada RM3,300," katanya.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 6.7 juta daripada 13.1 juta pencarum KWSP yang berumur bawah 55 tahun kini mempunyai simpanan RM10,000 dan kurang berbanding pada April 2020.

"Penyusutan median simpanan ahli KWSP semua kaum iaitu RM8,100 pada 2022, berkurang kepada 50 peratus berbanding simpanan sebanyak RM16,600 pada tahun 2019 iaitu sebelum mana-mana pengeluaran berkaitan Covid-19," katanya.