Pindaan Akta 655 dibentang Jun depan - Nik Nazmi

Nik Nazmi pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Nik Nazmi pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) bertujuan meningkatkan tempoh hukuman dan kadar denda kepada pihak yang menyebabkan pencemaran sistem bekalan air, dijangka dibentangkan di Parlimen Jun depan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pindaan tersebut sedang dalam peringkat semakan sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata pindaan tersebut melibatkan peningkatan denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta manakala hukuman penjara dinaikkan daripada setahun kepada 15 tahun, ataupun kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Pindaan juga melibatkan penyenaraian kesalahan-kesalahan baharu seperti apa-apa perbuatan yang menyebabkan atau yang mungkin menyebabkan penutupan sistem bekalan air atau gangguan bekalan air kepada pengguna serta melepaskan apa-apa kumbahan, benda atau bahan ke dalam mana-mana lurang,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Che Alias Hamid (PN-Kemaman) mengenai komitmen Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) untuk meminda Akta 655 dengan mengenakan hukuman dan denda yang lebih tinggi terhadap pencemar bekalan air.

Nik Nazmi berkata, pindaan yang melibatkan Seksyen 121 dan Seksyen 122 akta berkenaan juga akan membolehkan pemegang lesen air dan pengguna menuntut semula kos bagi memulihkan sistem bekalan air yang dicemari pihak didapati bersalah.

"Pada masa sama, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) juga dalam proses pindaan sebelum Parlimen dibubarkan.

"Kita berhasrat untuk meneruskan pindaan tersebut kerana ini melibatkan sebarang pencemaran tanpa mengira lokasi ataupun bidang kuasa dan melibatkan pindaan elemen kompaun dan penalti serta untuk memperkasakan akta tersebut,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media di lobi bangunan Parlimen, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pindaan undang-undang tersebut dapat mengukuhkan usaha membanteras perlakuan pencemaran sumber air bagi memastikan kelestarian sumber bekalan air mentah di negeri-negeri.

Beliau berkata berdasarkan pengalaman di Selangor yang meminda Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 bagi menaikkan denda maksimum untuk kesalahan pencemaran air kepada RM1 juta daripada RM500,000 pada Nov 2022, menyaksikan hanya dua insiden pencemaran air dilaporkan di Selangor berbanding kira-kira lapan insiden pada 2020.

"Tindakan meningkatkan (denda) ini di samping beberapa penguatkuasaan di kawasan pesisir sungai, tebing sungai sedikit sebanyak memberikan kesan baik kepada negeri Selangor.

"Tindakan undang-undang dan tindakan struktural bukanlah satu-satunya (langkah pencegahan), saya percaya kementerian ada mencadangkan beberapa proses pendidikan melalui kempen jimat air, Hari Air Sedunia, Sahabat Air...ini adalah usaha berterusan yang harus diperkukuhkan dari semasa ke semasa," katanya. - Bernama