Jepun tuntut jawapan China

Belon peninjau tanpa pemandu telah dikenal pasti pada November 2019, Jun 2020 dan September 2021. - Foto: Agensi
Belon peninjau tanpa pemandu telah dikenal pasti pada November 2019, Jun 2020 dan September 2021. - Foto: Agensi
A
A
A

TOKYO - Analisis terbaharu terhadap objek terbang tidak dikenali yang dikesan di ruang udara Jepun jelas menunjukkan ia adalah belon perisik China.

“Belon peninjau tanpa pemandu itu telah dikenal pasti pada November 2019, Jun 2020 dan September 2021. Kami menggesa Beijing supaya mengesahkan fakta insiden dan memastikan keadaan itu tidak lagi berlaku pada masa depan.

“Pelanggaran ruang udara dengan objek terbang seperti itu sememangnya tidak boleh diterima,” menurut Kementerian Pertahanan pada lewat Selasa.

Sementara itu, media tempatan pada Rabu melaporkan pegawai kerajaan sedang mempertimbangkan langkah untuk menembak jatuh mana-mana objek yang mencabuli ruang udara negara tersebut.

“Senjata hanya boleh digunakan jika terdapat ancaman yang jelas,” lapor agensi berita Kyodo.

Minggu lalu, Jepun memaklumkan ia sedang menganalisis semula siri insiden melibatkan objek udara yang tidak dikenal pasti selepas belon perisik milik China ditembak jatuh setelah ia memasuki ruang udara Amerika Syarikat (AS) hingga meningkatkan semula ketegangan antara kedua-dua negara. - AFP