Niat nak hantar nasi rupanya abang dah meninggal dunia

Wan Khadijah menunjukkan rumah Fakri.
Wan Khadijah menunjukkan rumah Fakri.
A
A
A

KOTA BHARU - Niat murni seorang adik menghantar sarapan pagi kepada abangnya dikejutkan dengan penemuan mayat lelaki itu dalam rumahnya di Pintu Geng di sini, pada Rabu.

Bekas wadar penjara tersebut, Fakri Mohamad, 63, ditemui dalam keadaan terbaring di lantai berhadapan pintu bilik pada jam 7.30 pagi.

Kakaknya, Wan Khadijah Mohamad, 65, berkata, anak keenam daripada sembilan beradik itu sebelumnya tidak kelihatan pergi ke masjid di hadapan rumah mereka pada waktu Maghrib dan Isyak seperti kebiasaan.

“Pada waktu petang semalam (Selasa) dia ada, tetapi bermula senja sehingga Subuh hari ini dia tidak muncul.

“Adik kami pergi ke rumahnya untuk menghantar nasi berlauk namun panggilan tidak bersahut. Apabila buka pintu dan masuk ke dalam rumah ternampak dia (Fakri) sudah berada di lantai,” kata pesara guru itu ketika ditemui di rumah mereka di sini pada Rabu.

Wan Khadijah (kiri) menceritakan kejadian mayat adik lelakinya ditemui dalam rumah.
Wan Khadijah (kiri) menceritakan kejadian mayat adik lelakinya ditemui dalam rumah.

Wanita itu berkata, abangnya masih belum berkahwin dan tinggal bersendirian di rumah tersebut.

“Arwah seorang yang baik, dia tidak pernah mengadu sakit dan tidak menunjukkan sebarang perubahan.

"Cuma pagi semalam dia ada ajak kawan-kawannya makan di kedai makan di Pasir Hor,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan pada jam 11.28 pagi.

“Kematian disahkan oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh dan mayat dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

“Siasatan awal polis mendapati tiada kesan-kesan unsur jenayah namun siasatan masih diteruskan,” katanya.

Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.