Qari, qariah Malaysia johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli menghadiri majlis Perasmian Penutupan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 Tahun 1440H/2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam ini. - Foto Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli menghadiri majlis Perasmian Penutupan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 Tahun 1440H/2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Qari dan qariah dari Malaysia dinobatkan sebagai johan kategori tilawah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-61 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam ini.

Abdul Khair Jalil memperoleh 93.02 markah, manakala Nor Farhatul Fairuzah Panut mendapat 87.05 markah sekaligus membolehkan mereka membawa pulang kepingan emas bernilai RM70,000, piala iringan dan wang tunai RM40,000.

Sementara qari dari Algeria, Yassine Bekouassa mendapat tempat kedua, manakala tempat ketiga, Ilyas Lamhayahoui (Maghribi).

Qariah dari Indonesia, Wardatun Nisa Hasa menduduki tempat kedua, manakala tempat ketiga, Karimah Hayibaraheng (Thailand).

Bagi kategori hafazan lelaki, peserta dari Sweden, Mohamed Abdi dinobatkan sebagai juara manakala untuk kategori wanita, ia dimenangi peserta dari Niger, Fatouma Ousseni Moussa.

Hadiah pemenang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang turut berkenan untuk berangkat pada majlis tersebut bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Majlis berlangsung selama lima hari bermula 15 April lalu itu melibatkan 41 buah negara bagi menyertai kategori tilawah dan hafazan al-Quran.

Artikel Berkaitan:

Antara keistimewaan dan keunikan majlis tilawah dan menghafaz al-quran peringkat antarabangsa tahun ini ialah pemilihan tempat iaitu KLCC yang menjadi simbol ikonik Malaysia.

Pada penganjuran kali ini, Kumpulan Media Karangkraf turut mengambil bahagian mengadakan Simposium Keagungan Al-Quran dan pelbagai pengisian lain.