Kerajaan belanja RM62 juta penjenamaan Keluarga Malaysia

Armizan
Armizan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kerajaan membelanjakan lebih RM62 juta untuk menjenamakan Keluarga Malaysia semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bermula Ogos 2021 sehingga November 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah RM62,093,139.05 itu mewakili lebih 98 peratus daripada perbelanjaan penjenamaan kerajaan di bawah tiga Perdana Menteri sejak Mac 2020 hingga 30 Januari lalu.

“Perbelanjaan penjenamaan Kerajaan Prihatin di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin berjumlah RM181,752.20 sementara penjenamaan Malaysia Madani di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sebanyak RM489,216.

"Berdasarkan rekod kewangan Jabatan Perdana Menteri, penganjuran program berkaitan penjenamaan semula kerajaan iaitu Kerajaan Prihatin, Keluarga Malaysia dan Malaysia Madani membabitkan peruntukan yang telah dibelanjakan sehingga 30 Januari 2023 adalah sebanyak RM62,764,107.25.

"Jumlah perbelanjaan ini berdasarkan program jelajah jerayawara yang dilaksanakan semasa pentadbiran Perdana Menteri kelapan hingga kini," katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Kenyataan itu bagi menjawab soalan Aminolhuda Hasan (PH-Sri Gading) mengenai peruntukan dibelanjakan bagi penjenamaan kerajaan ketika pentadbiran tiga Perdana Menteri iaitu Muhyiddin, Ismail Sabri dan Anwar.

Tambah Armizan, hanya satu program Kerajaan Prihatin dilaksanakan semasa pentadbiran Muhyiddin memandangkan negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.