Cadang sijil TVET diwajibkan kepada banduan, pesalah juvana

Seorang ahli Parlimen mencadangkan supaya pensijilan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diwajibkan kepada banduan yang menjalani tempoh pemenjaraan khususnya pesalah juvana. - Gambar hiasan
Seorang ahli Parlimen mencadangkan supaya pensijilan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diwajibkan kepada banduan yang menjalani tempoh pemenjaraan khususnya pesalah juvana. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli Parlimen mencadangkan supaya pensijilan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diwajibkan kepada banduan yang menjalani tempoh pemenjaraan khususnya pesalah juvana.

R Yuneswaran (PH-Segamat) berkata, langkah itu bagi membolehkan mereka melangkah ke alam pekerjaan selepas tamat tempoh hukuman.

"Pensijilan tersebut berupaya memberi motivasi kepada mereka untuk berdepan dunia yang kini memerlukan kemahiran tertentu selain meningkatkan keyakinan serta kepercayaan majikan untuk menggajikan mereka sebagai pekerja," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan menyelesaikan isu sekolah daif yang merencatkan mutu penyampaian pendidikan serta mengganggu motivasi pengajar dan pelajar sehingga memberi kesan kepada pencapaian akademik.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar) pula mahu beban para guru dikurangkan supaya mereka dapat fokus kepada pengajaran.

Sementara itu, Syed Saddiq, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) dan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) membangkitkan isu mengenai peruntukan yang adil kepada semua ahli Parlimen bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas sebagai wakil rakyat secara berkesan.

Persidangan dewan bersambung pada Rabu. - Bernama