Masalah kekurangan pekerja asing selesai tempoh tiga bulan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kerajaan menjangkakan masalah kekurangan pekerja asing akan dapat diatasi dalam tempoh tiga bulan dengan pelaksanaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, pelan itu dibuat bagi mempercepatkan proses kelulusan permohonan kuota pekerja asing serta kelulusan penggajian bermula pada 17 Januari lalu sehingga 31 Mac depan.

Menurutnya, ia melibatkan beberapa sektor kritikal seperti pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan iaitu bagi subsektor restoran.

“Menyedari keperluan tenaga kerja asing dalam keadaan amat terdesak, kerajaan amat prihatin untuk menyelesaikan masalah ini dengan serta- merta.

“Majikan di bawah kelima-lima sektor dan subsektor tersebut boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing melalui platform Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) di bawah modul FWe Approval.

“Di bawah Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, majikan yang memerlukan pekerja asing dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing daripada 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian dan kelayakan kuota yang dikenakan sebelum ini, termasuk pengecualian proses temuduga oleh Agensi Kawal Selia (AKS),” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bertanyakan tentang usaha yang diambil untuk mempercepatkan kemasukan pekerja asing dan kelonggaran yang diberikan kepada majikan.

Tambah Sivakumar, pengiklanan kekosongan jawatan di portal MyFuture Jobs juga telah dikecualikan berkuat kuasa serta merta.

“Kementerian akan memproses dan memberi kelulusan permohonan penggajian pekerja asing dalam tempoh tiga (3) hari bekerja daripada tarikh permohonan diterima,” katanya.