Guru diberi pilihan rekod PBD luar talian, hibrid - KPM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Guru yang merekod dan melapor tahap penguasaan pentaksiran bilik darjah (PBD) murid bagi sesi akademik 2022/2023 diberi pilihan untuk melakukan secara luar talian atau secara hibrid, kata Kementerian Pendidikan (KPM).

Menerusi kenyataan pada Rabu, KPM memaklumkan templat baharu untuk pengisian PBD bagi pelaporan ujian akhir sesi akademik 2022/2023 secara luar talian akan disediakan sebagai alternatif.

"KPM komited mengurangkan beban tugas guru dan memastikan kebajikan guru terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) tidak berfungsi dengan baik dan akan ditutup sementara untuk ditambah baik.

Tindakan itu diambil KPM susulan rungutan daripada warga pendidik ekoran kesukaran mengakses SPPB untuk merekod dan melapor tahap penguasaan PBD menggunakan sistem itu.

SPPB ialah sistem pengurusan pentaksiran terkini, berterusan dan menyeluruh bagi semua jenis pentaksiran KPM sama ada berkaitan murid, guru dan institusi pendidikan. - Bernama