Onn Hafiz tak mahu rebut jawatan Ketua Pemuda UMNO

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat pada pemilihan UMNO kali ini.

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu memilih untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam.

Menerusi muat naik kenyataan di Facebook rasminya pada Rabu, Onn Hafiz memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk pemimpin dan jentera akar umbi di UMNO Bahagian Simpang Renggam.

"Kita sedia maklum bahawa sekarang ini adalah musim pemilihan parti UMNO.

"Saya telah berusaha mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk ahli keluarga dan sahabat tentang jawatan yang sesuai untuk saya menawarkan diri pada pemilihan penggal ini.

"Oleh itu, saya tidak akan menawarkan diri untuk jawatan di peringkat pusat tetapi dengan rasa penuh rendah diri ingin menawarkan diri untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam," tulisnya.

Beliau juga memberitahu, akan terus memberi fokus khidmat bakti kepada Johor dan terus berusaha untuk mengukuhkan pentadbiran dan pembangunan negeri ini.

"Saya akan memberi fokus kepada pentadbiran dan pembangunan di kawasan saya dan Johor.

"Semoga keputusan ini diredai dan dirahmati ALLAH SWT. Saya merayu dan memohon sokongan daripada perwakilan UMNO Simpang Renggam," katanya.

Pada Isnin, Onn Hafiz digesa bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan kali ini.

Calon Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Syed Mohd Kazim Syed Nasir berkata, Onn Hafiz disifatkan paling layak kerana memiliki pengalaman dalam parti dan mampu mentadbir Johor.

Sebelum itu, bekas Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyifatkan Onn Hafiz sebagai calon paling sesuai bagi memegang tampuk kepimpinan Pemuda UMNO bagi penggal 2023-2026.

UMNO Bahagian Simpang Renggam kini diketuai Datuk Zakaria Dullah, manakala Ahli Parlimennya, Datuk Hasni Mohammad merupakan bekas Pengerusi UMNO Johor dan Ketua UMNO Bahagian Pontian.