Onn Hafiz digesa bertanding Ketua Pemuda UMNO

Onn Hafiz - Foto Bernama
Onn Hafiz - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi digesa bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan kali ini.

Calon Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Syed Mohd Kazim Syed Nasir berkata, Onn Hafiz disifatkan paling layak kerana memiliki pengalaman dalam parti dan mampu mentadbir Johor.

Katanya, imej bersih yang ditampilkan cicit pengasas UMNO itu mampu menarik lebih ramai golongan belia kepada parti sekali gus membawa perubahan dan era baharu kepada Pemuda UMNO.

"Onn Hafiz mula terlibat dalam parti pada tahun 2013 sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sembrong. Pada masa sama, beliau memegang jawatan sebagai Exco Pemuda UMNO serta Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Onn Hafiz kemudiannya diberikan tempat untuk menjawat jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam pada tahun 2018 sebelum menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Selain itu katanya, Onn Hafiz juga pernah dilantik sebagai Exco Belia, Sukan dan Pelancongan negeri dan terus cemerlang apabila memenangi kerusi DUN Machap pada PRU15, seterusnya dilantik sebagai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac tahun lalu.

Syed Mohd Kazim
Syed Mohd Kazim

Syed Mohd Kazim yang juga Ahli Jawatankuasa Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda UMNO berkata, akar umbi Pemuda UMNO amat berbesar hati sekiranya Onn Hafiz menyahut gesaan bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO.

"Setakat ini memang tiada sebarang kenyataan diberikan Onn Hafiz berhubung gesaan ini. Tetapi saya yakin, Onn Hafiz akan mendapat sokongan daripada akar umbi dan banyak pihak," katanya.

Onn Hafiz kini berada di Singapura atas lawatan rasmi selama tiga hari bermula Ahad.

Sebelum itu, bekas Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyifatkan Onn Hafiz Ghazi sebagai calon paling sesuai bagi memegang tampuk kepimpinan Pemuda UMNO bagi penggal 2023-2026.

Setakat ini, dua individu menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti Mac depan, iaitu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Setiausaha Pemuda UMNO, Hasmuni Hassan.