Pusat latihan CIDB tawar tajaan belia ceburi bidang minyak, gas

Majlis graduasi melibatkan 142 pelatih termasuk 17 pelatih cemerlang itu dirasmikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang turut menyampaikan Anugerah Pelatih Cemerlang, Sijil Penghargaan dan Anugerah Ikon TVET Pembinaan.
Majlis graduasi melibatkan 142 pelatih termasuk 17 pelatih cemerlang itu dirasmikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang turut menyampaikan Anugerah Pelatih Cemerlang, Sijil Penghargaan dan Anugerah Ikon TVET Pembinaan.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) melalui Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Technologies Sdn Bhd (CIDB Tech) menawarkan tajaan kepada belia tempatan yang ingin menceburi bidang kemahiran minyak dan gas.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid berkata, terdapat enam bidang utama di ABM dan CIDB Tech yang memberi peluang kerjaya dalam bidang minyak dan gas seperti Gas Pipe Installation, Gas Pipe Insulation, Scaffolding, Welding, Mechanical Fitting dan Blasting and Painting.

“Sekarang, ada banyak peluang pekerjaan boleh dijadikan kerjaya dan sumber pendapatan namun bidang kemahiran di sektor minyak dan gas adalah kerjaya yang mempunyai pendapatan tinggi.

“Sehingga Disember lalu, lebih daripada 18,518 pekerja mahir binaan dalam bidang tersebut telah berjaya dilahirkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi ABM dan CIDB Technologies Wilayah Timur 2023 di Dewan Besar ABM Wilayah Timur, Kuala Berang, di sini pada Selasa.

Majlis graduasi melibatkan 142 pelatih termasuk 17 pelatih cemerlang itu dirasmikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang turut menyampaikan Anugerah Pelatih Cemerlang, Sijil Penghargaan dan Anugerah Ikon TVET Pembinaan.

Mereka merupakan pelatih daripada 17 tred (kategori) dalam latihan kompetensi kemahiran pembinaan membabitkan kluster bidang bangunan, Industrial Building System (IBS), Operasi Kren, Mekanikal dan Elektrikal, Kimpalan dan Blasting & Painting.

Ahmad 'Asri menyampaikan ucapan pada majlis.
Ahmad 'Asri menyampaikan ucapan pada majlis.

Ahmad 'Asri berkata, ABM dan CIDB Technologies merupakan pusat penilaian dan latihan di bawah kendalian CIDB yang memberi peluang kepada golongan belia serta personel binaan mendalami kemahiran dalam industri binaan.

“Sehingga kini, ABM dan CIDB Technologies meliputi Wilayah Timur, Utara, Tengah, Selatan, Sabah dan Sarawak berjaya melahirkan seramai 405,833 pekerja mahir binaan di seluruh negara membabitkan program belia dan personel binaan,” katanya.

Dalam majlis itu, Hafizatul Najmi Pizat, 35, yang merupakan alumni ABM Wilayah Timur iaitu bekas pelajar dalam bidang Pendawaian Elektrik (Wireman PW4) pada tahun 2008 dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon TVET Pembinaan.

Berbekalkan sijil SKKP CIDB pada awal kerjayanya, beliau kini merupakan seorang usahawan muda yang mempunyai enam cabang perniagaan iaitu pendawaian elektrikal, peniagaan jual beli barangan elektrik, pembinaan rumah, pasaraya serbaneka, perhotelan dan perkhidmatan pelancongan.

Selain itu, sebanyak tujuh rakan industri turut menerima sijil penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka kerana menaja serta memberi peluang pekerjaan kepada pelatih-pelatih ABM dan CIDB Tech Wilayah Timur.

Ia melibatkan Petronas Chemical Group, Kolej Yayasan Pahang Advanced Skill, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Yayasan Pendidikan Maidam, Malaysia Rail Link (MRL), DNR Training Centre dan MKA Consult.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!