Tamatkan segera budaya rasuah

Kenyataan perbuatan rasuah menjadi antara punca kos sara hidup meningkat sememangnya perkara benar yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. - Gambar Hiasan (Gambar kecil dari kiri: Hamdan dan Pushpan)
Kenyataan perbuatan rasuah menjadi antara punca kos sara hidup meningkat sememangnya perkara benar yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. - Gambar Hiasan (Gambar kecil dari kiri: Hamdan dan Pushpan)
A
A
A

SHAH ALAM - Amalan rasuah di setiap peringkat termasuk dalam sektor perniagaan dilihat sebagai punca utama kepada peningkatan kos sara hidup sekali gus menekan golongan berpendapatan rendah.

Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan, Profesor Madya Dr Hamdan Daniel berkata, kenyataan perbuatan rasuah menjadi antara punca kos sara hidup meningkat sememangnya perkara benar yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak.

Katanya, peningkatan kos sara hidup itu mungkin tidak berlaku secara total tetapi ia antara penyumbang kepada kewujudan kos tertentu terhadap perkhidmatan seterusnya menyebabkan harga barangan menjadi tidak stabil.

Hamdan menegaskan, amalan rasuah yang meluas dan berlaku di setiap lapisan masyarakat menjadi penyumbang besar kepada kos terselindung pengurusan perniagaan.

Lebih menyedihkan, katanya, kesan daripada semua kegiatan tidak bermaruah itu pada akhirnya terpaksa dibayar oleh pihak memerlukan iaitu orang ramai.

“Bayangkan jika berlaku salah laku seperti amalan rasuah di peringkat pihak yang meluluskan dasar sesuatu projek pembangunan.

“Perbuatan tidak berintegriti daripada pihak bawah sehingga kepada pihak pengurusan maka tentunya harga barangan atau perkhidmatan yang perlu dibayar oleh pengguna akan menjadi lebih tinggi.

“Tidak mustahil daripada salah laku dan amalan rasuah yang berlaku di sektor pembangunan hartanah menyebabkan harga rumah melambung tinggi dan menyukarkan rakyat berpendapatan rendah untuk memilikinya,” katanya kepada Sinar Premium.

Hamdan berpandangan, budaya rasuah yang sekian lama berakar umbi di negara ini perlu ditamatkan segera supaya kos sara hidup dapat dikurangkan dan tidak membebankan rakyat.

Jelasnya, rakyat pada masa ini sangat menderita dengan kadar kos sara hidup yang semakin meningkat sedangkan kadar pendapatan bulanan masih berada pada tahap statik.

“Hentikan amalan rasuah daripada segenap rantaian ekonomi. Rakyat berhak mendapat yang terbaik daripada kesejahteraan negara.

“Malah dengan penolakan terhadap amalan rasuah dan tidak berlakunya ketirisan, hasil pembangunan negara dapat disampaikan kepada segenap lapisan rakyat untuk hidup lebih selesa,” jelasnya.

Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Pushpan Murugiah berkata, masalah kenaikan kos sara hidup sangat berkait rapat dengan perbuatan pengusaha apabila bertindak menyerap tanggungan perbelanjaan daripada perbuatan rasuah ke dalam kos perniagaan.

“Apabila urusan perniagaan terpaksa diselitkan dengan keperluan untuk merasuah, rasuah ini dikira sebagai kos perjalanan perniagaan.

“Pengusaha perniagaan akan bertindak menyalurkan beban pemberian rasuah kepada masyarakat atau pengguna akhir,” tegasnya.

Ujarnya, antara contoh kes rasuah yang menyebabkan rakyat menanggung kesannya adalah skandal agihan jumlah kuota umrah.

Katanya, setiap syarikat yang ingin mendapatkan tempat untuk menunaikan ibadah itu harus membayar rasuah atau ‘wang pelincir’ sehingga RM250 bagi setiap seorang jemaah umrah.

“Maka perbuatan rasuah dalam bentuk ini akan diselitkan sebagai kos dan ia akan ditanggung oleh mereka yang membeli pakej umrah berkenaan,” tambah beliau.