Malaysia lantik perwakilan baharu ke PBB, ASEAN

Dari kiri: Ahmad Faisal, Nur Izzah
Dari kiri: Ahmad Faisal, Nur Izzah
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri (KLN) mengumumkan pelantikan baharu Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat dan Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jakarta, Indonesia.

Dua individu tersebut adalah Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad (PBB) dan Duta Besar Nur Izzah Wong Mee Choo (ASEAN) yang masing-masing menerima surat pelantikan daripada Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Selasa.

KLN dalam satu kenyataan memaklumkan, Ahmad Faisal pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Myanmar bermula 2011 hingga 2014) sebelum memegang jawatan Penasihat/Pengarah di Bahagian Hubungan Antarabangsa, Pejabat Perdana Menteri (2014 hingga 2018).

“Sebelum pelantikan ini, beliau merupakan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Switzerland sejak tahun 2019.

“Beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Tugas-Tugas Khas, Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan, Setiausaha Bahagian Penyelidikan, Triti dan Perundangan Antarabangsa, Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia dan Pegawai Khas kepada Ketua Setiausaha,” kata kementerian itu.

KLN menambah, Nur Izzah pula sebelum ini merupakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand sejak tahun 2018 dan ditauliahkan serentak ke Cook Islands serta Samoa.

“Di KLN, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Bahagian Inspektorat dan ditugaskan di Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hala, Bahagian Asia Timur dan Asia Selatan, Bahagian Penerangan dan Bahagian ASEAN.

“Beliau juga pernah berkhidmat di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Republik Rakyat China,” ujarnya.