Sri Pahang FC janji tampil berbeza

Rowley (tengah) yakin Sri Pahang akan beraksi lebih baik musim ini.
Rowley (tengah) yakin Sri Pahang akan beraksi lebih baik musim ini.
A
A
A

PEMAIN tengah Sri Pahang FC, David Rowley percaya pasukan itu akan tampil dengan aksi yang lebih baik berbanding tahun lalu dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Menurutnya, persiapan Sri Pahang kali ini cukup positif dan percaya kejayaan akan hadir untuk pasukan pantai timur itu sekiranya apa yang dirancang berjalan lancar.

Dia juga menyifatkan sentuhan pemain legenda Singapura, Fandi Ahmad sebagai pengendali pasukan selain kehadiran muka-muka baharu menambahkan lagi kualiti dalam skuad Tok Gajah.

"Saya begitu teruja melihat pemain-pemain baharu yang akan memperkuatkan cabaran pasukan sama ada tempatan atau import, boleh saya katakan sebahagian besarnya begitu berpengalaman.

"Paling saya gembira adalah kehadiran dua penyerang yang saya rasa antara terbaik di Liga Malaysia iaitu Kpah Sherman dan Lucas da Silva.

"Bersama Fandi, banyak perubahan beliau tengah lakukan bagi memastikan Sri Pahang akan tampil lebih berbeza berbanding sebelum-sebelum ini," katanya.

Antara pemain tempatan yang memperkuatkan cabaran Sri Pahang ialah Fadhli Shas, Izham Tarmizi, Nur Shamie Iszuan, Syazwan Andik dan Azrif Nasrulhaq.

Manakala bagi import, selain Sherman dan Lucas, Sri Pahang menambah pemain-pemain baharu seperti Stefano Brundo dan Michael Glassock selain mengekalkan Sherzod Fayziev dan Kevin Ingreso.

Prestasi yang cemerlang sepanjang musim 2022 apabila berjaya mencetak 6 jaringan (22 penampilan) dengan Sri Pahang memperlihatkan Rowley berjaya mendapat panggilan Harimau Malaya pada saingan Piala AFF 2022.

Justeru, pemain kacukan Australia-Malaysia ini berasakan tahap keyakinannya sedikit berbeza selepas impian menyarung jersi kebangsaan menjadi kenyataan.

"Peluang bersama Harimau Malaya adalah satu impian yang telah lama saya nantikan dan pengalaman bersama skuad kebangsaan sepanjang AFF tidak akan dilupakan.

"Selepas pulang dari AFF, saya rasa semakin menjadi seorang yang positif dan tidak gentar semasa di atas padang, ini memberikan motivasi tambahan buat saya bagi musim 2023.

"Saya akan terus berikan yang terbaik untuk Sri Pahang dan jika itu berjaya, saya juga boleh mengekalkan tempat dalam pasukan kebangsaan untuk perlawanan di peringkat antarabangsa," katanya.