Bapa, anak maut kemalangan

Bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit
Bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit
A
A
A

KLUANG -Seorang lelaki bersama anak perempuannya maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dua kenderaan di KM 9 Jalan Kluang - Tech Wah Hing kira-kira jam 1.30 petang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, mangsa yang maut merupakan pemandu kereta Perodua Kelisa, Muhamad Firdaus Bahari, 28, dan anak sulungnya, Dhia Auni Batrisyia, 3, manakala tiga lagi penumpang mengalami kecederaan ringan sahaja.

Menurutnya, mangsa yang cedera ialah Mohd Fahmi Ramli, 26, Norfazlina Mohd Shariff, 40 dan pasangan kembat Dhia Auni Batrisyia, Dhia Ainul Mardiah Muhamad Firdaus, 3.

Lima penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina iaitu Muhamad Rohaizam Ramli, 37, bersama empat anaknya iaitu Asyraf Danila, 2; Muhamad Adam Danial, 9; Muhamad Aish Danial, 7 dan Arissa Humaira, 5, hanya mengalami kecederaan ringan sahaja.

"Hasil siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa yang datang dari arah Simpang Renggam ke Kluang dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lagi kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat pelanggaran kuat tersebut, Muhamad Firdaus disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala manakala anaknya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang," katanya.

Menurutnya, siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan kemalangan merupakan jalan berselekoh dua hala dengan setiap hala mempunyai satu lorong dengan keadaan permukaan jalan berada dalam keadaan kering dan bertar.

Katanya, kenderaan yang terlibat juga akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Kluang untuk pemeriksaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: