Pusat Kawalan Kusta Negara Sungai Buloh bakal diwartakan

Borhan (kanan) melawat galeri pada Majlis Pembukaan Rasmi Muzium Permainan Tradisional, Bukit Melawati Kuala Selangor pada Isnin.
Borhan (kanan) melawat galeri pada Majlis Pembukaan Rasmi Muzium Permainan Tradisional, Bukit Melawati Kuala Selangor pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor dalam proses pewartaan Pusat Kawalan Kusta Negara Sungai Buloh untuk menjadikan bangunan itu sebagai tapak warisan kebangsaan.

Exco Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah berkata, proses pewartaan itu dijangka dapat diselesaikan dalam waktu terdekat.

"Pewartaan itu berdepan kesulitan kerana tanah itu hak milik KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), namun (proses pewartaan) itu akan diselesaikan segera," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pembukaan Rasmi Muzium Permainan Tradisional, Bukit Melawati Kuala Selangor pada Isnin.

Borhan memberitahu, pada masa ini, beberapa bangunan lama bersejarah di negeri itu sudah diwartakan bagi memulihara bahan bersejarah.

"Antara bangunan yang telah diwarta ialah Istana Bandar di Kuala Langat, Tapak Lombong Arang Batu, Batu Arang dan Muzium Perlombongan Kapal Korek di Sepang," kata beliau.

Jelas beliau, pada masa ini kerajaan negeri berdepan kesukaran mewartakan tempat bersejarah kerana ia perlu mendapat persetujuan daripada Jabatan Warisan Negara.

"Kalau kita lihat, kerajaan Melaka sudah mempunyai akta dan enekmen sendiri untuk mewartakan bangunan bersejarah.

"Kerajaan Selangor hendak bawa enekmen untuk mewartakan bangunan (atau bahan sejarah) untuk dikuatkuasakan kerana kita sebelum ini hanya menjadi penasihat dan pemberi izin kepada Jabatan Warisan Negara," jelas beliau.

Borhan sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan Selangor akan membawa usul enakmen berkenaan pewartaan bahan bersejarah di negeri itu untuk dibahaskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Borhan berkata, tujuan pewartaan itu membolehkan kerajaan Selangor berhak untuk mewartakan bahan bersejarah di negeri berkenaan.