JPNP tanam lebih 5.9 juta pokok balak dalam tempoh dua tahun

Nurfazliza (kiri) menanam pokok ru pantai bersama kanak-kanak di Kambung Kempadang.
Nurfazliza (kiri) menanam pokok ru pantai bersama kanak-kanak di Kambung Kempadang.
A
A
A

KUANTAN - Lebih 5.9 juta pokok balak berkualiti tinggi ditanam Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dalam tempoh dua tahun bermula 2021.

Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Timur I) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nurfazliza Kamarulbahrin berkata, penanaman itu dibuat dalam usaha memulihkan semula kawasan hutan.

Menurutnya, antara spesies pokok balak berkualiti tinggi yang ditanam ialah merbau, meranti, keruing dan balau. Turut ditanam keladan, perah, merawan, kelat serta beberapa spesies lain.

"Projek penanaman ini dilakukan di bekas kawasan hutan simpan yang pernah diceroboh termasuk di kawasan pusat simpanan sementara balak atau matau.

"Selain hutan, penanaman pokok turut dilakukan di kawasan pesisir pantai, paya gambut dan paya bakau bagi menghalang hakisan. Penanaman itu membabitkan kawasan pesisir pantai di daerah ini, Pekan dan Rompin,

"Pokok yang ditanam di sekitar tiga daerah itu seperti ru laut, ketapang, bintangor laut, kelat dan jambu laut. Sementara pokok bakau di kawasan paya bakau," katanya pada Selasa.

Sebelum itu, 1,000 pokok ru pantai sempena Hari Radio Sedunia peringkat kebangsaan di Kampung Kempadang pada Isnin.

Dalam pada itu, Nurfazliza memberitahu bagi menampung keperluan benih pokok balak berkualiti tinggi, JPNP telah memperkenalkan program 'Buy Back Guarantee'.

Jelasnya, program itu membabitkan penyertaan lebih 25 masyarakat Orang Asli di Tasik Chini dan Cameron Highlands.

"Kita memberi latihan kepada peserta termasuk menyediakan pelbagai kelengkapan di tapak semaian. Mereka hanya perlu mencari benih pokok merbau dan beberapa spesies lain untuk disemai.

"Anak pokok yang mencapai umur antara empat hingga enam bulan akan dibeli oleh JPNP untuk ditanam di kawasan terpilih

"Program pertama di Tasik Chini telah mencapai kejayaan yang begitu membanggakan, Susulan itu diperkenalkan pula di Cameron Highlands yang mula menyemai benih pokok balak bulan lalu," katanya yang akan terus berusaha meningkatkan ekonomi masyarakat Orang Asli.