PBRS kekal sokong Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah

Arthur (kanan) ketika bertemu dengan Hajiji (kiri) di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Arthur (kanan) ketika bertemu dengan Hajiji (kiri) di Kota Kinabalu baru-baru ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sekali lagi menyatakan pendirian bahawa parti itu kekal menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Presidennya, Datuk Arthur Joseph kurup berkata, PBRS akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan agenda pembangunan Sabah dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia.

"Sokongan kami masih kekal dan tidak berubah sejak beliau (Hajiji) diberikan mandat untuk menerajui pentadbiran Sabah pada tahun 2020.

"Pendirian ini juga merupakan manifestasi terhadap kecemerlangan kepimpinan Ketua Menteri khususnya dalam memastikan kestabilan politik dan perpaduan di Sabah terus terjamin," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ahli Parlimen Pensiangan itu turut berkata, keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan agenda pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Sabah terus meningkat.

"Di samping itu juga berusaha untuk memastikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diselesaikan dengan segera demi kebaikan rakyat Sabah," katanya.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) Pusat dalam kenyataan menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Hajiji menerajui kerajaan Sabah.

Ia turut diikuti kenyataan daripada MCA Sabah bahawa parti itu tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha untuk menggulingkan Hajiji sebagai Ketua Menteri.