Gempa bumi: Sinar Karangkraf kumpul lebih RM76,000 dalam 5 hari

Poster Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare
Poster Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare
A
A
A

SHAH ALAM - Sinar Karangkraf berjaya mengumpul dana sebanyak RM76,420.24 sejak Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare itu dilancarkan pada 8 Februari lalu.

Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin melahirkan rasa syukur kerana berjaya mengumpul dana hampir RM80,000 dalam tempoh lima hari.

Beliau turut berharap lebih ramai lagi pihak tampil untuk menderma bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

"Seperti kita sedia maklum hampir 35,000 mangsa yang maut di Turkiye dan Syria akibat bencana tersebut.

"Jadi saya rasa kita perlu rancakkan lagi supaya lebih ramai pihak tampil menderma terutama badan korporat bagi mengurangkan beban mangsa di sana.

"Tabung ini akan dibuka sehingga 28 Februari depan dengan sasaran untuk mengumpulkan dana sebanyak RM250,000," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Nik Justin, hasil dana itu akan diberikan dalam empat kegunaan utama iaitu penempatan sementara bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal, makanan, ubat-ubatan dan peralatan asas termasuk pakaian.

"Bantuan kita telah bermula pada hari pertama dengan melancarkan tabung dengan kerjasama bersama Syria Care. Setiap hari sumbangan oleh ramai itu terus disalurkan ke negara terlibat.

"Ini berikutan semua petugas dan sukarelawan yang sudah berada di sana akan membeli peralatan dan bantuan yang disebutkan tadi. Bantuan itu secara berterusan dan setiap derma diberikan itu akan terus digunakan untuk memberi bantuan kepada mangsa gempa bumi," jelasnya.

Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare untuk Turkiye & Syria itu melibatkan kerjasama strategik Sinar Harian bersama Syria Care dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sebarang bantuan boleh disalurkan melalui akaun 5642-7652-9068 (Maybank) atas nama Sinar Karangkraf atau hubungi talian sekretariat di 019-2133315.

Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/