Pelajar UUM kembali jalani peperiksaan bersemuka

Peperiksaan di kampus UUM kembali diadakan secara bersemuka sehingga akhir bulan ini. - (Gambar kecil: Shahimi)
Peperiksaan di kampus UUM kembali diadakan secara bersemuka sehingga akhir bulan ini. - (Gambar kecil: Shahimi)
A
A
A

SINTOK - Seramai 18,851 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menduduki peperiksaan secara bersemuka semula selepas dua tahun diadakan secara dalam talian akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) yang memangku tugas Naib Canselor UUM, Profesor Dr Shahimi Mohtar berkata, jumlah pelajar sepenuh masa yang menduduki peperiksaan kali ini ialah 18,833 pelajar selain 18 pelajar program kerjasama.

Menurutnya, peperiksaan yang bermula pada 6 hingga 25 Februari ini akan diadakan di seluruh kampus, melibatkan 639 subjek di 16 pusat pengajian.

“Kesemua pelajar kini dapat menjalani peperiksaan secara bersemuka semula, malah kehadiran pensyarah di pusat-pusat peperiksaan dilihat memberikan semangat baharu kepada pelajar, yang sebelum ini menduduki peperiksaan secara online,” katanya lagi.

Beliau berkata, dewan peperiksaan sementara diadakan bagi memenuhi keperluan pelajar termasuk di pusat-pusat pengajian, Inapan Siswa, bilik kuliah, Dewan Muadzam Shah, Dewan Tan Sri Othman Yeop (TSO) selain pejabat Jabatan Hal Ehwal Akademik membabitkan pelajar orang kurang upaya (OKU).

“Selebihnya di Dewan Bukit Kachi, kampus Kuala Lumpur (UUMKL) serta Pusat Kesihatan Universiti (PKU) yang menghadapi masalah kesihatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Akademik, Azian Nafiah berharap kesemua pelajar dapat mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang peperiksaan berlangsung.

“Untuk melancarkan proses pengendalian peperiksaan, lebih 60 pegawai tadbir dan staf pelaksana telah dilantik sebagai pengawas dan pembantu peperiksaan, katanya.