Zoo Johor berusia 95 tahun bakal berubah wajah

Mohd Jafni (kiri) menunjukkan cadangan kerja menaik taraf Zoo Johor kepada Sultan Ibrahim.- Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Mohd Jafni (kiri) menunjukkan cadangan kerja menaik taraf Zoo Johor kepada Sultan Ibrahim.- Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Zoo Johor berusia 95 tahun yang terletak di Jalan Gertak Merah di sini bakal berubah wajah seterusnya menjadi destinasi pelancongan baharu di negeri ini.

Terletak di tengah-tengah pusat bandaraya, Zoo Johor merupakan zoo yang tertua di negara ini.

Ia dibuka pada tahun 1928, oleh Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar dan dinamakan sebagai Kebun Binatang pada masa itu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata kerja-kerja menaik taraf Zoo Johor akan dijalankan dalam jangka masa terdekat dan bakal beroperasi semula pada akhir tahun ini.

Sebelum itu, Mohd Jafni mempersembahkan cadangan kerja-kerja menaik taraf Zoo Johor kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Ahad.

Pada pertemuan itu, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan pelbagai pandangan serta nasihat.

“Zoo Johor adalah hasil sumbangan Almarhum Sultan Sir Ibrahim pada waktu itu dan merupakan zoo yang tertua di negara ini.

“Kerajaan negeri perlu menitikberatkan pelbagai perkara ketika kerja-kerja membaikpulih dijalankan antaranya melibatkan sistem pengaliran, penempatan haiwan, harga tiket dan pelbagai lagi dalam menarik kehadiran pengunjung.

“Ia perlu menjadi antara lokasi pelancongan baharu di Johor yang mampu menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara,” titah baginda dalam kenyataan di akaun Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sementara itu, Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri setiap tahun mengeluarkan peruntukan hampir RM1 juta melibatkan pelbagai kos antaranya penyelenggaraan, gaji kakitangan serta makanan untuk haiwan-haiwan.

“Kita juga akan mengkaji semula harga tiket yang dikenakan pada masa ini iaitu RM2 bagi dewasa dan RM1 kanak-kanak, namun akan memastikan kadar baharu itu tidak membebankan pengunjung dan lebih rendah berbanding zoo lain di negara ini," katanya.