Anwar gesa cari pendekatan baharu tangani krisis Myanmar

 Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru ASEAN untuk mencari strategi dan pendekatan baharu dalam menyelesaikan krisis yang sedang berlaku di Myanmar.

Dalam temu bual eksklusif dengan Thai Public Broadcasting Service (PBS Thai), Anwar berkata, krisis di Myanmar tidak lagi boleh dianggap sebagai hal ehwal dalam negara kerana ia telah memberi kesan kepada negara jiran termasuk Thailand, Malaysia dan Indonesia ekoran kebanjiran pelarian yang melarikan diri dari negara itu.

"Konflik Myanmar nampaknya tidak akan selesai dalam masa terdekat melainkan ASEAN menyemak semula, mengenai apa, itu kita perlu bincangkan.

"’ASEAN Way’ sangat produktif dalam menangani banyak isu lain (di rantau ini). Bagaimanapun, ‘ASEAN Way’ perlu disemak semula apabila melibatkan krisis Myanmar kerana penglibatan konstruktif tidak berfungsi dalam hal ini,” katanya.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November tahun lepas dan menyifatkan dirinya sebagai "junior” dalam kalangan pemimpin ASEAN yang lain, menyatakan bahawa beliau telah membincangkan isu mengenai Myanmar dengan rakan sejawatnya di Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand semasa lawatan rasminya.

"Memandangkan Indonesia mengetuai (Pengerusi ASEAN tahun ini), mungkin dalam satu atau dua minggu akan datang saya akan bertemu dengan Presiden Indonesia Jokowi (Joko Widodo) dan memberi pandangan saya tentang apa yang telah berlaku (di Myanmar) dan meminta pandangannya serta merangka strategi baharu,” katanya.

Semasa lawatan sulungnya ke Thailand, Anwar telah bertemu rakan sejawatnya Prayuth Chan o-cha pada Khamis dan membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama termasuk Myanmar.

Pada sidang media bersama selepas mesyuarat itu, Anwar berkata ASEAN harus mengambil tindakan yang koheren dan bersepadu sebagai badan serantau dalam menyelesaikan krisis di Myanmar.

Mengenai konflik Selatan Thailand, Anwar menegaskan Malaysia akan "melakukan apa sahaja yang diperlukan" untuk memudahkan proses damai.

"Saya memberitahu Perdana Menteri (Prayuth) bahawa dengan persetujuan anda (Prayuth), saya akan melakukan apa sahaja yang perlu, bercakap dan melibatkan rakan-rakan kita di selatan serta mereka di Bangkok.

"Selain itu, kita perlu memastikan rundingan dan mesyuarat berlangsung lebih kerap dan isu yang dibangkitkan mesti ditangani.

"Pendirian kami adalah tidak berkompromi dengan sebarang bentuk keganasan," katanya.

Malaysia adalah fasilitator bagi proses dialog damai dalam menamatkan konflik berpuluh tahun di Selatan Thailand.

Anwar berkata, bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, dilantik sebagai ketua fasilitator Malaysia yang baharu berkuat kuasa 1 Januari mempunyai pemahaman yang baik mengenai situasi di selatan serta sahabat kepada banyak pihak di kerajaan itu.

"Ini akan sangat membantu dalam rundingan," katanya. - Bernama.